16 October 2012

Proses Kejadian Manusia Menurut Islam

Dalam perbincangan ini akan disebut beberapa asas;
Pertama: Penjelasan Al-Quran terhadap kejadian janin dan huraian ulama’ tafsir mengenainya.
{ ولقد خلقنا الإنسان من سلالة من طين. ثم جعلناه نطفة في قرار مكين. ثم خلقنا النطفة علقة فخلقنا العلقة مضغة فخلقنا المضغة عظاماً فكسونا العظام لحماً ثم أنشأناه خلقاً آخر فتبارك الله أحسن الخالقين }. المؤمنون 12-14.
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari “pati” (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air mani pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air mani itu menjadi segumpal darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”. [Al-Mu’minun: 12-14].
Satu: Peringkat air mani (النطفة).
Kata Ibnu Kathir [3]: ‘Kemudian kami kami jadikan nuthfah; iaitu air yang terpancut keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang punggung perempuan’. Nuthfah juga disebut sebagai percampuran air mani lelaki dan perempuan sebagaiman yang tersebut dalam ayat
 { إنا خلقنا الإنسان من نطفة أمشاج نبتليه..}. الإنسان 2.
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari (setitis) air mani yang bercampur (benih lelaki dan perempuan) untuk kami mengujinya..”. [Al-Insan: 2].
Ini disebut sebagai telur yang telah disenyawa dengan beberapa peringkat yang semuanya masih dalam bentuk setitik air.

Dua: Peringkat segumpal darah (العلقة) .
Peringkat ini melalui beberapa proses dari mulanya hingga akhir. Kalimah ‘alaqah seperti yang dijelaskan oleh ahli tafsir ialah: diambil dari kalimah ‘alaqa iaitu melekat dan bergantung dengan sesuatu yang lain. Ini bertepatan dengan keadaan janin yang melekat dengan dinding rahim sepanjang minggu kedua.
‘Alaqah juga disebut sebagai darah atau darah yang sangat merah dan darah beku. Ia bertepatan dengan keadaan janin diperingkat ini. Tempoh proses peringkat ini ialah bermula pada minggu kedua hingga akhir minggu ketiga.

Tiga:Peringkat seketul daging (المضغة).
Bermulanya pada minggu ke empat, tepatnya pada hari ke 22 jantung mula bergerak dan janin telah memasuki peringkat mudhghah. Ulama’ tafsir telah menjelaskan peringkat ini dengan terperinci. Kata Ibnu Kathir: ‘Mudhghah: Seketul, seperti seketul daging yang tidak ada bentuk apa-apa, besarnya sekadar apa yang dapat digigit. Ini bertepatan dengan keadaan janin di awal peringkat ini yang ukurannnya sebesar biji gandum sehingga sebesar  biji kacang tanah (3-5 mm). Janin melalui proses pembesaran yang cukup cepat setiap hari bahkan setiap jam.
Di akhir peringkat ini akan nampak sifat kejadian tangan, kaki, kepala, dada dan perut demikian juga dengan organ dalaman tubuh, sedang tubuh zahirnya masih dengan seketul daging, inilah yang digambarkan dalam Al-Quran;
  ثم من مضغة مخلقةٍ وغير مخلقة…}. الحج 5}
Maksudnya: “Kemudian kami jadikan seketul daging yang sempurna kejadiannya dan  yang tidak sempurna”. [Al-Haj: 5].
Dari nas ini jelas bahawa kejadian bentuk manusia bermula di peringkat ini, dan dari ilmu janin pula menegaskan bahawa kejadian bentuk manusia bermula pada awal minggu keempat hingga kepada sebelum tamat minggu keenam, selepas itu akan bermula peringkat baru pula.

Empat: Peringkat kejadian tulang.
Di minggu ke tujuh ini bermula satu proses baru, iaitu timbulnya tulang dan tubuh mula menjadi kuat. Kata Ibnu Kathir: ‘Yakni kami jadikan bentuknya mempunyai kepala, tangan, kaki dengan tulang-tulang dan urat sarafnya’.
Kata As-Syaukani [4]: ‘Allah menjadikannya keras supaya menjadi tiang kepada tubuh mengikut bentuknya yang khas’.
Mengikut ilmu janin tulang dijadikan pada awalnya kemudian dibaluti dengan daging pada akhir minggu ke tujuh dan sepanjang minggu ke lapan.
Dengan ini berakhirlah peringkat kejadian bentuk manusia dengan bentuk yang begitu kecil, apabila tamat minggu ke lapan dikira berakhirlah peringkat ‘janin’, selepas itu disebut dengan nama peringkat ‘hamil’ atau dalam Al-Quran disebut peringkat ‘An-Nash-ah’.
Peringkat kejadian yang berbentuk  “النشأة خلقا آخر”.
Peringkat ini bermula pada minggu ke sembilan, janin membesar dengan perlahan hingga minggu ke dua belas, kemudian ia membesar dengan cepat hingga ke akhirnya.
Ia mempunyai beberapa ciri yang tertentu di antaranya;
Berlaku proses pembesaran semua anggota sebagai persediaan untuk menjalankan tugas masing-masing.
Janin sudahpun di tiupkan roh kepadanya mengikut pendapat kebanyakkan ulama’ tafsir. Kata Ibnu Kathir: ‘Kemudian kami tiupkan roh kepadanya dan ia mula bergerak dan menjadi satu kejadian makhluk yang mempunyai pendengaran, penglihatan, perasaan dan gerakan’.



No comments:

Post a Comment